Seronok Niaga Batu Nisan, Bukan Minta Orang Cepat Mati
Majalah Madani - Bil.12:Oktober 2001
Petikan dari "Seronok Niaga Batu Nisan, Bukan Minta Orang Cepat Mati ".
Pagi itu Azhar pergi ke keadi kopi Wak Parman lebih awal. Dia perlu siapkan tempahan yang dipesan dengan cepat. Tempahan pelanggan mesti disegerakan. Jadi, dia mahu bersarapan di kedai kopi sahaja. Isterinya memeng selalu keluar awal kerana bertugas sebagai pendidik.
Tiba sahaja di kedai kopi , Mohd. Azhar diperli oleh kawan-kawannya. Mereka dengan selamba mengatakan dia sebagai peniaga 'kejam'. Apa tidaknya? Dia menjual batu nisan dan bahan-bahan penghias pusara.
"Ha! Ini dia orang yang suka sangat kalau orang mati cepat," kata Yusuf Gitar sambil tersenyum kepada Azhar.
"Yalah tu, si Azhar ni memang seroniok kalau dengar ada orang mati. Larislah batu nisannya," sampuk Umar Belut disambut dengan gelak tawa beberapa orang kawannya.
"Terima kasihlah kawan-kawan. Kalau nak suruh aku belanja hari ni, cakap ajalah. Jangan dok mengata aku. Insya-Allah tanggung beres!" balas Mohd. Azhar sambil mengambil tempat duduknya.
"Okey juga kalau macam tu. Untung besarlah katakan. Alhamdulillah," kata Zul Pulut sambil tersenyum.
Memang hubungan Mohd. Azhar dengan rakan-rakanya cukup akrab. Kebanyakkan mereka memang rakan sekolah Mohd. Azhar. Jadi soal berseloroh dan bergurau senda sudah tidak di ambil hati lagi. Hingga soal sensitif seperti gurau di atas pun tidak menyinggung perasaan Mohd. Azhar.
Bagi Mohd. Azhar Haji Sadan, 33 tahun, gurau serta perli seperti itu sudah jadi lumrah. Dia tahu mereka cuma bergurau. Malah dengan kata-kata kawannya itu dia mendapat semangat lebih untuk memajukan perniagaanya.
Dia yakin dengan peribahasa yang menyebut 'Dimana ada kemahuan disitu ada jalan'. Namun begitu, jalan untuk menuju ke arah kejayaan itu tidak terbentang dengan mudah. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Atas kesedaran itulah, Mohd. Azhar berusaha keras memajukan perniagaannya. Yang pasti, kejayaan akan datang mengikut kadar usaha dan perngorbanan yang ditunjukkan oleh seseorang dalam apa jua kerjaya yang dilakukan.
Itulah antara kekuatan yang ada pada diri usahawan muda ini. Dia memulakan perniagaanya sebagai pembekal batu nisan dan berangan hiasan kubur sejak tahun 1990 yang lalu. Tempatnya beroperasi ialah di Sekinchan, Selangor.
"Mendoakan untuk orang yang mati memang sunat, tetapi kita tidak boleh mendoakan supaya orang cepat mati. Itu tidak baik. Lagi pun ajal maut adalah ketentuan Ilahi," kata Mohd Azhar semasa ditemui ditempat kerjanya baru-baru ini.
Ketika menceritakan bagaimana dia memulakan perniagaan batu nisan ini, Mohd. Azhar memberitahu, setelah menamatkan pengajian diperingkat Sijil Penilaian Malaysia (SPM) pada tahun 1995 dia tercari-cari kerja bagi menyara hidupnya.
PENGORBANAN
Dengan keputusan SPM yang tidak begitu menjanjikan peluang pekerjaan yang memuaskan, dia nekad akan berusaha sedaya upaya mencari rezeki untuk keperluan sendiri dan membalas pengorbanan ibu dan ayahnya.
"Setelah setahun saya membuat kerja-kerja kampung, membantu ayah dan ibu di bendang. Maklumlah ketika itu kehidupan kami sempit, adik beradik semuanya masih kecil-kecil lagi dan masih bersekolah. Jadi, sedikit sebanyak dapatlah saya meringankan beban kedua orang tua saya.
"Selain itu, saya berusaha mencari kerja tetap. Sementara mendapat kerja, saya kerap mengikuti kursus-kursus anjuran Jabatan Belia dan Sukan terutamanya dalam kursus perniagaan." cerita Mohd. Azhar dengan panjang lebar, menghimbau kembali kenangan semasa mula-mula mengenali bidang perniagaan.
Setelah setahun menganggur, Mohd. Azhar yang berasal dari Kampung Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor berhijrah ke Ulu Klang, Kuala Lumpur. Di sini, dia tinggal bersama seorang saudaranya.
Berbekalkan sedikit kebolehan membaiki basikal dia membuka sebuah bengkel kecil di situ. Dengan berkat kesabaran dan ketabahan, banyak juga pelanggan yang mengakui kebolehan anak Melayu ini dalam mengusahakan bengkel basikal.
Menurut Mohd. Azhar lagi, bidang tersebut hanya diusahakan beberapa tahun sahaja. Dia merasa bidang itu tidak sesuai dengan prinsip hidupnya yang ingin mengusahakan satu bidang perniagaan yang lebih mencabar. Kalau boleh biarlah boleh dimanfaatkan oleh orang ramai dengan beramal disamping memberi perkhidmatan.
Awal tahun 90-an, ketika Mohd. Azhar berguru di dalam bidang tauhid di kampung asalnya, kebetulan gurunya pembuat batu nisan. Dia terus didedahkan sedikit sebanyak rahsia membuat batu nisan itu.
"Sejak meninggalnya guru saya itu, maka kerja-kerja membuat batu nisan tidak lagi dibuat. Atas kesedaran saya terlalu sayang kepada kerja itu, maka saya sanggup menyambung tugas sebagai pembuat batu nisan.
"Pada awalnya, saya berasa sangat asing dengan kerja ini dibandingkan dengan kerjaya rakan dan jiran yang lain," kata Mohd Azhar mengenang penglibatan awalnya dalam perniagaan batu nisan.
"Selalu orang berkata kepada saya, awak buat batu nisan samalah macam suruh orang mati cepat," tutur Mohd Azhar mengenai komentar sesetengah tetangganya. Kata-kata itu sering terdengar jika dia ke masjid atu ke kedai kopi. Namun itu semua dianggap sebagai kata perangsang oleh Mohd. Azhar.
"Terus terang saya katakan, semasa memulakan perniagaan ini saya kurang yakin akan beroleh untung. Tapi pada tahun kedua, saya mula mengecapi keuntungan yang lumayan, apalagi apabila semakin ramai orang yang tahu adanya perusahaan ini.
"Saya anggap usaha saya ini sebagai serampang dua mata. Selain berniaga mencari rezeki, saya dapat berbakti kepada orang ramai terutama orang kampung saya dan kampung-kampung yang berdekatan kerana mereka tidak perlu menempah batu nisan di tempat yang lain," Jelas Mohd. Azhar.
Menurut Mohd. Azhar, beberapa jenis batu nisan dibuatnya sendiri. Bahanya terbuat daripada marmar/marble tempatan. Batu nisan itu dijual dengan harga antara RM250 - RM1300 sepasang. Ada juga batu nisan Terrazo dengan nama si mati dibuat khas dari porselin.
Nama itu dibuat dari proses pembakaran dan tulisan jawi dibentuk secara berkomputer. Batu nisan itu dijual dengan harga antara RM130 - RM210. Manakala batu nisan cenggal pula dijual dengan harga antara RM180 - RM550.
Selain membuat batu nisan, Mohd. Azhar juga mampu membina pusara dengan konsep pasang siap dan kepok tulisan mengikut citarasa penempah.
"Kebelakangan ini saya merasakan sambutan amat menggalakkan. Batu nisan dibeli bukan kerana hanya adanya kematian, tetapi juga diperlukan oleh waris yang mahu menggantikan batu nisan yang telah rosak," kata Mohd. Azhar.
Mohd. Azhar mendirikan rumah tangga dengan seorang pendidik, Zunita Zam Zam pada tahun 1996. Isterinya amat mengambil berat akan kerjayanya. Dia kerap memberikan perangsang dan juga membantunya jika ada kelapangan selepas melayan karenah tiga orang anaknya yang masi kecil.
Mohd. Azhar berharap perniagaannya akan terus maju. Sekarang dia sudah membuka beberapa cawangan, antaranya di Kuala Selangor, Batang Berjuntai, Felda Soeharto, Shah Alam, Teluk Intan dan Puchong.
Berita kejayaan Mohd. Azhar, seorang anak Melayu pengusaha batu nisan yang telah berjaya, pernah disiarkan di TV1 sebanyak dua kali. Dia bersyukur kepada Allah S.W.T. di atas kejayaannya setakat ini.