Ke Mekah Hasil Wang Batu Nisan

Warta Perdana - 5/6/1994

Petikan dari Mingguan Perdana - Ke Mekah Hasil Wang Batu Nisan

 

Petikan dari "Ke Mekah Hasil Wang Batu Nisan".

 

Setelah menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1985 dahulu, Mohd Azhar Sadan masih tercari-cari tempat untuk mencurahkan bakti bagi menyara hidup seharian.
Dengan keputusan SPM yang tidak menjanjikan peluang pekerjaan yang memuaskan beliau nekad akan berusaha sedaya upaya mencari rezeki untuk keperluan sendiri dan membalas kembali pengorbanan ibu dan ayah.

Setahun menganggur, Azhar yang berasal dari Kampung Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor berhijrah untuk mencari pengalaman hidup ke Hulu Kelang, Kuala Lumpur dan tinggal bersama seorang saudaranya di sana. Berbekalkan sedikit kebolehan membaiki basikan beliau membuka sebuah bengkel kecil di situ.
Berkat kesabaran dan ketabahannya, bertambah juga ramai pelanggan yang mengakui kebolehan anak Melayu ini dalam mengusahakan sebuah bengkel mekanik.

Tidak berapa lama Azhar merasakan bidang ini tidak sesuai dengan prinsip hidupnya ia itu ingin mengusahakan sesuatu pekerjaan yang boleh manfaatkan atau beramal sambil memberi perkhidmatan.

Awal tahun 90-an ketika berguru dalam bidang tauhid di kampung asalnya, kebetulan gurunya itu seorang pembuat batu nisan, Azhar didedahkan sedikit sebanyak rahsia membuat batu tanda itu.

Sejak dari peniggalan gurunya, Azhar berasa terlalu sayang untuk melihat warisan kerja itu terbiar begitu sahaja. Beliau sanggup menyambung tugas sebagai seorang pembuat batu nisan walaupun pada awalnya berasa begitu terasing jika dibandingkan dengan kerjaya rakan dan jiran yang lain.

"Selalu orang berkata kepada saya, awak buat batu nisan samalah macam suruh orang mati cepat," Azhar menyatakan bahawa perkataan ini sering terdengar jika beliau ke Masjid atau ke kedai kopi, namun itu semua seolah-olah menjadi kata perangsang buat Azhar.

Hasil usahanya, Azhar punyai rezeki menunaikan ibadah umrah di Mekah dan membesarkan lagi perniagaannya dari menghasilkan nisan dari batu konkrit hinggalah berjaya menghasilkan nisan dari terrazo, marble dan tulisannya juga adalah dari kualiti yang terbaik.

Beliau cukup berbangga walaupun pekerjaannya dianggap sebagai aneh oleh penduduk setempat namun beliau menganggap di samping bekerja, beliau juga bersedekah dari segi nisan itu sendiri dan keringat yang dicurahkan selama menyiapkan sesebuah tempahan.

Azhar juga bangga bekerja sebagai pembuat batu nisan kerana di kawasan tempat tinggalnya iaitu dari Kuala Selangor sehinggalah ke Sabak Bernam beliau adalah pengusaha bumiputera tunggal dan perniagaan ini juga jarang dilakukan oleh orang muda.

Beliau yang baru berusia 26 tahun berharap perniagaanya akan terus maju disamping dapat menabur bakti kepada masyarakat serta mengaggap pekerjaannya itu sebagai menjaga kebudayaan Islam yang terpelihara sekian lama.

RxCrystal

Hubungi Kami | Peta Laman |Beritahu Rakan | Webmaster